Keputusan Penuh JDT vs Beoungket Angkor 19.4.2017 Piala AFC

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati saingan Piala AFC selepas menewaskan Beoungket Angkor FC 3-0 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kekal di tangga kedua Kumpulan F dengan mengumpul 10 mata dan dua mata di belakang pendahulu, Global FC.

Beoungket Angkor pula berada di tangga ketiga kumpulan selepas hanya meraih empat mata dan sah mengiringi pasukan di kedudukan tercorot, Magwe FC tersingkir daripada saingan walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Dalam aksi malam tadi, pengendali JDT, Benjamin Mora melakukan tindakan berani dengan tidak menyenaraikan ramai tonggak utama pasukan.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan sasaran JDT untuk mencipta kemenangan selepas Safawi Rasid meledak gol pembukaan seawal minit kelapan.

Nazmi Faiz Mansor menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-26 hasil sepakan lambung yang menarik selepas kesilapan penjaga gol, Sou Yaty yang keluar dari posisinya.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, JDT mendapat peluang terbaik untuk menambah gol ketiga selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun sepakan Azamuddin Akil dinafikan Yaty.

Beoungket Angkor cuba bangkit dengan beberapa gerakan berbahaya di babak kedua namun gagal memecahkan kebuntuan.

Sebaliknya, ketika perlawanan berbaki 10 minit, Mora dilihat masih belum puas apabila membawa masuk penyerang berbisa, Gabriel Guerra dan usaha itu berhasil apabila bekas pemain PKNS FC itu meledak gol ketiga JDT pada masa tambahan.

No comments