Pelajar Kolej Ditahan Buang Bayi Di Tempat Pembuangan Sampah

Kuching - Mayat bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dijumpai di tempat pembuangan sampah di sebuah apartmen di Jalan Usahajaya, Samajaya, di sini, pagi tadi.

Mayat dijumpai seorang pekerja pembersihan apartmen berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Menurut sumber, mayat bayi itu diletakkan di dalam sebuah kotak sebelum dibuang di tempat pembuangan sampah berkenaan.

Katanya, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu di hantar ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

"Susulan daripada siasatan dijalankan, seorang wanita berusia 24 tahun yang tinggal di kawasan sama ditahan tidak lama selepas itu.

"Penuntut sebuah kolej swasta itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana sembunyikan kelahiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

No comments