'Kalau Ikut Al-Quran, Harussani Boleh Disebat 80 Kali Kerana Fitnah Saya' - Siti Kasim

Menurut Al-quran, Tan Sri Dr Harussani boleh dihukum 80 kali sebatan, kata peguam dan aktivis kontroversi Siti Kasim kerana mendakwa Mufti Perak itu telah melakukan fitnah besar dengan menuduhnya sebagai murtad.

Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Harussani yang menasihati beliau supaya tidak menyentuh isu tauhi yang jelas bukan bidangnya kerana perbuatan itu boleh menjurus kepada murtad.

“Saya tidak murtad. Dia perlu dengar temu bual asal saya. Jangan terkeliru dengan versi potong dan tampal yang berunsur fitnah oleh menara.my, laman web fundamentalis yang hanya menyerang sesiapa saja yang Islamofasis anggap sebagai liberal.

“Itu fitnah besar untuk menuduh wanita secara salah, boleh dihukum 80 kali sebat menurut Al-Quran,” kata Siti Kasim dalam kemaskini di laman Facebooknya, semalam.


Bernama melaporkan pada Isnin lalu bahawa Harussani menasihati Siti Kasim supaya mempelajari dan memahami agama Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan agama.

Ia susulan sebuah laporan media yang menyebut tentang kenyataan Siti Kasim dalam satu temu bual dengan media berbahasa Cina berhubung ‘penghasilan’ tuhan, beberapa tahun lalu.

“Saya menasihatkan (Siti Kasim) untuk tidak campur dalam urusan agama yang kita tidak tahu. Belajarlah.

“Kita beruntung kerana dilahirkan sebagai orang Islam. Cukup beruntung. Pelajarilah agama Islam yang dibawa oleh mak dan bapa kita. Kita pertahanlah agama itu. Jangan kita bercakap perkara yang kita tidak tahu kerana itu akan merosakkan diri kita,” kata Harussani dipetik sebagai berkata.

Menjawab tuduhan itu lagi, Siti Kasim mempersoalkan kehadiran ‘empat saksi’ mufti berkenaan, selain menegaskan bahawa video tidak boleh dijadikan sebagai bukti.

“Syariah tidak menerima video sebagai bukti," katanya sambil merujuk kepada apa yang dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Adakah dia Tuhan? Memahami kepercayaan anda itu perlu. Allah perintah ummah untuk menggunakan akal mereka. Jadi nasihat saya kepadanya ialah dengar nasihatnya sendiri.

“Jangan cakap perkara yang kita tidak tahu kerana ia boleh memudaratkan diri kita sendiri,” tambah Siti Kasim.

No comments