Abdul Latif Cipta Sejarah Dinobat Olahragawan Kebangsaan 2016

Petaling Jaya - Anugerah Sukan Negara 2016 menyaksikan satu kejutan besar apabila atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan, malam Rabu.

Prestasi cemerlang Abdul Latif apabila merangkul pingat emas menerusi acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Paralimpik di Rio, Brazil tahun lalu membolehkan dia mengetepikan calon pilihan Datuk Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang yang turut tersenarai sebagai calon bagi anugerah utama itu.

Dengan kemenangan itu, Abdul Latif melakar sejarah dalam arena sukan negara apabila muncul atlet paralimpik pertama memenangi anugerah yang sebelum ini dimenangi atlet normal.

Selain berjaya memecah rekod dunia sebanyak tiga kali pada Paralimpik Rio, pemilihan Abdul Latif dinilai menerusi kejayaan sepanjang tahun lalu yang menyaksikan dia merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan Kejohanan Faaza Ke-8 di Emiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, atlet silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang membawa bekalan empat emas termasuk bergelar juara dunia kelas Putri E Kejuaraan Silat Sedunit Ke-17 di Indonesia tahun lalu berjaya mengetepikan pemenang tahun lalu, Pandelela Rinong untuk merangkul anugerah Olahragawati Kebangsaan.

Siti Rahmah Mohamed Nasir.
Atlet berusia 30 tahun itu turut muncul juara kelas yang sama pada Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belanda pada Ogos tahun lalu.

Prestasi konsistennya sepanjang tahun lalu antara faktor yang membolehkan dia memenangi anugerah tersebut buat pertama kalinya.

Abdul Latif dan Siti Rahmah masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

Majlis gilang gemilang itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Siti Noor Radiah Ismail.
Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa acara lompat Paralimpik Rio tahun lalu, Siti Noor Radiah Ismail dinobat sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pula mencetuskan tanda tanya apabila tiada mana-mana atlet memenangi anugerah tersebut.
Siti Noor Radiah turut membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

Gandingan beregu badminton lelaki negara, Tan Wee Kiong/Goh V Shem pula dipilih sebagai pemenang kategori Pasukan Lelaki Kebangsaan manakala Pandelela/Cheong Jun Hoong yang memenangi pingat perak menerusi acara 10m platform seirama wanita memenangi anugerah sama menerusi kategori wanita.

R. Jeganathan bersama anak didiknya, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
Menepati ramalan, ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R. Jeganathan membawa pulang anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan.
Jurulatih badminton wanita kebangsaan, Chin Eei Hui pula memenangi anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan.

Sementara itu, penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menerima anugerah Tokoh Sukan di atas jasa mereka dalam pembangunan sukan negara.

Anugerah Kepimpinan Sukan pula diberikan kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia, Shanmuga Rajah V Navaratnam.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH:

1. Olahragawan Kebangsaan - Abdul Latif Romly (olahraga para)

2. Olahragawati Kebangsaan - Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat)

3. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Siti Noor Radiah Ismail (olahraga para)

4. Pasukan Lelaki Kebangsaan - Tan Wee Kiong/Goh V Shem (badminton)

5. Pasukan Wanita Kebangsaan - Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong (terjun)

6. Jurulatih Lelaki Kebangsaan - Jaganathan Ramasamy (olahraga para)

7. Jurulatih Wanita Kebangsaan - Chin Eei Hui (badminton)

8. Kepimpinan Sukan - Tan Sri Mohd Ali Rustam (Pesaka) dan Shanmuga Rajah V. Navaratnam (gimnastik)

9. Tokoh Sukan - Tun Jeanne Abdullah (Majlis Paralimpik Malaysia) dan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar (Majlis Olimpik Malaysia)

10. Anugerah Khas - Datuk Dina Rizal (Sports Unite) dan Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani (Setiausaha Kerajaan Sarawak)

No comments