Kajian: BN Kekal Memerintah, Pas Akan Kalah PRU14

Kuala Lumpur - Berdasarkan kaji selidik dilakukan Invoke Malaysia, BN diramal akan kekal memerintah Putrajaya dan Pas pula akan kalah dalam PRU14.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga merupakan penyelaras Invoke Malaysia berkata, BN akan kekal mendominasi kemenangan dalam PRU14 jika wujud pertandingan tiga penjuru.

"Pertandingan tiga penjuru antara Umno, PKR dan Pas, Umno mendapat jumlah undi 29 peratus ,PKR 22.3 peratus , dan Pas 11.2 peratus.

"Pertandingan tiga penjuru antara Umno, Bersatu dan Pas mendapati Umno masih dihadapan dengan mendapat jumlah undi 30.5 peratus, Bersatu 18.4 peratus, dan Pas hanya mendapat 10.8 peratus untuk dikedudukan paling tercorot ," katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Rafizi berkata demikian berdasarkan kajian yang dibuat Invoke selama dua bulan bermula 6 Februari hingga 6 April 2017 di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Sementara itu, ulasnya lagi sekiranya pertandingan tiga penjuru antara Umno, Amanah dan Pas, Umno masih di hadapan dengan mengumpul jumlah undi sebanyak 32.2 peratus, Amanah (16.1 peratus) dan Pas (12.5 peratus)," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata BN danUmno juga turut mendominasi kemenangan yang membabitkan pertandingan satu lawan satu.

"Pertandingan satu lawan antara Umno dan parti pembangkang, Umno tetap mendominasi jumlah undi, bagi keputusan Umno lawan PKR, Umno mendapat undi 33.0 peratus; PKR 30.4 peratus.

"Pertandingan antara Umno dan Bersatu, Umno mendapat undi 34.6 peratus , Bersatu 22.6 peratus , bagi pertandingan Umno dan Amanah, Umno dapat undi 36.5 peratus, Amanah 21.0 peratus manakala pertandingan satu lawan satu Umno dan Pas, Umno mendapat undi 35.9 peratus , Pas 19.0 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata berdasarkan kajian tersebut Pas mendapat undi paling tercorot antara parti pembangkang yang lain bagaimanapun parti Islam itu mendapat kelebihan di negeri Kelantan dan Terengganu.

"Tahap sokongan kepada Pas merudum lebih cepat berbanding parti lain dan Pas sekarang berada di tempat tercorot sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya.

Mengulas lanjut Rafizi berkata kajian yang dibuat Invoke itu juga menunjukkan 35 peratus responden memilih jawapan belum membuat keputusan dan tidak mahu menjawab parti yang dipilih akan memberi undi kepada parti Pakatan Harapan dan Pas.

No comments