'Bila Dah Tiada Nanti, Saya Tidak Mahu Anak-Anak Tinggal Solat' - Johan

Penyampai Radio Era, Johan Raja Lawak akui tegas dan garang mendidik anak-anaknya terutama ketika solat.

Menurut Johan, dia mula mendisiplinkan anak-anak tentang solat sejak mereka kecil.

"Saya tidak pernah mengajak anak-anak saya solat tetapi dari kecil saya ajar mereka hormat waktu solat.

"Di rumah, bukan saya dan isteri sahaja akan solat berjemaah tetapi pembantu rumah juga saya arahkan untuk ikut sekali. Waktu itu segala kerja perlu ditinggalkan.

"Jika anak-anak menangis pun waktu sedang berjemaah, kami biarkan sahaja dan teruskan solat seperti biasa.

"Minggu pertama mungkin mereka tidak faham tetapi bila perkara tersebut (berjemaah) dilakukan setiap hari mereka sendiri faham dan tidak menangis lagi.

"Selepas itu mereka sendiri akan ikut kami solat walaupun hanya meniru gaya tanpa bacaan.

"Bila saya lihat mereka sudah boleh ikut bacaan dalam sembahayang, saya mula ajar mereka sedikit demi sedikit.

"Alhamdulilah, waktu solat adalah waktu kami semua bersama di rumah. Saya mahu bila saya tiada nanti, mereka tetap akan mendirikan solat," katanya kepada Astro Gempak.

Penyampai Johara Pagi Era itu kebiasaannya akan solat berjemaah ketika semua ahli keluarganya ada di rumah iaitu pada waktu Asar dan Maghrib.

Johan dan isteri, Ozlyn Wati memilki empat orang cahaya mata iaitu, Ariq, Sodiq, Haziq dan Cantiq.

Johan turut mengakui dia seorang yang berbeza dari apa yang dilihat di kaca televisyen ketika mendidik anak.

"Saya seorang yang garang dengan anak-anak dan saya perlu tegas kerana mereka masih kecil serta dalam proses belajar.

"Apa yang mereka lihat dan dengar tak sama dengan apa yang kita lihat dan dengar.

"Oleh itu, kita perlu menjadi contoh pada anak-anak supaya mereka hanya ikut yang baik-baik sahaja," katanya lagi.

No comments