Hina Watson Nyambek, Ammar Titan Mohon Maaf

Shah Alam - Pengacara sebuah rancangan komedi televisyen tempatan, Azizul Ammar Abu Hassan hari ini tampil memohon maaf ekoran tindakannya mempersenda nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Azizul dikatakan menyamakan mendiang bapa Watson dengan binatang menerusi sebuah rancangan televisyen, semalam.

"Dengan rasa rendah diri, saya ingin memohon maaf atas keterlajuran saya terhadap Watson dan keluarganya.

"Tanpa sedar kami telah mencalar nama baik mendiang bapanya," katanya menerusi kenyataan di Intagramnya, hari ini.

Menurut Azizul lagi, dia sangat menghormati atlet terkemuka tanah air itu yang telah mencipta dan mengharumkan nama Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya juga mengucapkan rasa terima kasih terhadap komen dan teguran yang diberikan oleh semua pihak.

"Segala panduan dan teguran akan dijadikan panduan buat saya menjalankan tugas di depan hari dan saya akan lebih peka dalam menjaga sensitiviti masyarakat pada masa akan datang.

"Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua dan akan pastikan kesilapan ini tidak akan berlaku lagi," katanya lagi.

Terdahulu, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) mengeluarkan permohonan maaf kepada Watson.

Sebelum ini, Watson dilaporkan menyatakan rasa kecewa dengan tindakan sebuah stesen televisyen swasta yang menghina bapanya dalam satu rancangan komedi yang disiarkan.

Bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu dikatakan berang selepas rancangan televisyen terbabit menyamakan bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu dengan binatang.

No comments