'DAP Anak Butir Tahi PAP' - Presiden PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengecam keras DAP yang dilabelkan sebagai ‘butir tahi’ kepada PAP yang memerintah Singapura.

Ahli Parlimen Marang itu juga mengelar Singapura sebagai bapa kepada DAP.

“Dulu semasa Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.

“Jadi DAP ini anak butir taik PAP. Saya sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia,” katanya di majlis ceramah perdana di Rusila sempena kejayaan pembentangan rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355), Isnin.

Usul persendirian oleh Hadi itu dibentang di Dewan Rakyat pada 6 April lalu sebelum Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku speaker menangguhkan perbahasan ke sesi Julai.

Hadi membawa Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat sebagai memperkasakan undang-undang Mahkamah Syariah di Malaysia.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan kewajaran partinya berunding dengan UMNO yang tidak sepatutnya menjadi isu kepada DAP.

Katanya, jika kerajaan Pulau Pinang boleh berunding dengan kerajaan pusat mengenai jambatan Pulau Pinang atau projek di negeri itu, tidak ada sebab mengapa PAS dilarang berunding dengan UMNO.

“Kita berunding dengan UMNO saja, sama-sama Melayu Islam, itu. Salah? Dia berunding dengan Amerika tak apa, berunding dengan negara asing tak apa, bincang tentang politik Malaysia,” dakwa Hadi.

No comments