Buruh Rogol Ustazah Dipenjara 12 Tahun, Tujuh Sebatan

Kota Bharu - Seorang buruh binaan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tujuh kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang ustazah kira-kira lima tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohd. Rifaudin Che Azmi, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 32 tahun itu tanpa kerelaannya apabila meletakkan mangsa dalam ketakutan dengan meletakkan sebilah lawi ayam di lehernya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang kira-kira pukul 8.30 malam pada 25 Oktober 2012.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nuri Abd. Rahman.

No comments