'Buat Masa Ini Saya Masih Tak Dapat Maafkan Mereka'

Miri - Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek, menolak permohonan maaf daripada Primeworks Studios Sdn Bhd berhubung insiden nama bapanya dipersendakan.

Nama mendiang bapa Watson dikatakan dipersendakan seperti kambing oleh pengacara program Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan. Program komedi itu diterbitkan Primeworks Studios dan disiarkan oleh TV3.

"Sekarang saya hendak jelaskan di sini, walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di TV serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, kepada saya, saya sekarang ini susah hendak menerima maaf itu.

"Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?," katanya pada sidang media Primeworks Studios dan Watson Nyambek di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar; pengacara program itu, Azizul Ammar Abu Hassana dan isteri Watson, Fellizia Michael Sandom.

Watson, 41, yang kini adalah jurulatih sukan berkata, ketika ini, hatinya belum terbuka untuk memberikan kemaafan.

"Mungkin suatu masa nanti, hati saya akan terbuka...dan saya akan menerima kemaafan ini. Jadi sekarang saya belum hendak menerima (permohonan) maaf," katanya.

Tegasnya, beliau sudah membuat laporan polis pada pagi tadi kerana perkara itu bukan main-main atau pun lawak. "Saya akan teruskan perjuangan saya mendapatkan keadilan," katanya yang akan mendapatkan khidmat peguam untuk menentukan langkah seterusnya.

Watson dan isterinya sebelum itu hadir dalam rundingan damai dan permohonan maaf yang dianjurkan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lain Bujang di Hotel Grand Palace, di sini.

No comments