Berhijab Satu Kesilapan - Sara Ali

Petaling Jaya - Pelakon, Sara Ali mengakui keputusan bertudung sejak 1 Januari tahun lalu, bukan didorong oleh keinginan sendiri sebaliknya terikut-ikut dengan sebuah perniagaan yang berpaksikan keagamaan.

Bagaimanapun, Sara, 27, yang kini kembali ke imej asal berkata beliau sendiri yang melakukan segala kesilapan berkenaan dan dirinya tidak perlu menuding jari kepada pihak lain bersabit khilaf yang terjadi.

"Keputusan bertudung itu saya buat tanpa berfikir panjang. Ia silap saya sendiri.

"Keputusan untuk membuka tudung pula tiada kaitannya dengan keinginan untuk saya untuk berlakon semula atau kerana saya tidak lagi menerima tawaran kerja dalam tempoh bertudung.

"Malah, saya masih menerima undangan berlakon, cuma menolaknya dengan cara baik selain memilih karakter yang sesuai," katanya ketika ditemui di pejabat pengurusan kerjaya seninya, Paranormal Studios, di sini hari ini.

Pelakon yang kali akhir dilihat menerusi filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng, tahun lalu, memberitahu sepanjang bertudung, beliau seperti tidak menjadi dirinya sendiri.

"Saya memang bergelut dengan diri sendiri. Selepas 10 bulan bertudung, saya bagai mula tersedar daripada lamunan.

"Saya ingat, saya sudah bijak tetapi sebenarnya masih bodoh," katanya yang baru-baru ini muncul menerusi supertelefilem, Beringin, siaran sebuah saluran berbayar.

Portal terkenal sebelum ini menyiarkan artikel mengenai persoalan apakah pelakon wanita terbabit kembali membuka hijab apabila sekeping gambar dirinya tidak bertudung bersama seorang lelaki tersebar di media sosial.

Gambar terbabit dimuat naik lelaki berkenaan di laman sosial Instagramnya.

Sara yang ketika itu sedang bercuti di Shanghai, China, enggan mengulas panjang mengenai perkara berkenaan. Menerusi Instagramnya sendiri juga, Sara turut memuat naik gambar seorang wanita tanpa tutup kepala dari bahagian belakang, yang kelihatan seperti dirinya.

No comments