Siapa Basyar Dari Kacamata Rakyat Syria?

Sepanjang saya berada di sempadan Turkey membantu pelarian Syria, saya telah bersama seorang rakyat Syria yang juga pelarian di sana. Dia seorang pelarian yang bagi saya adalah seorang yang berjiwa besar, berani, suka membantu, berjiwa kental, berhati kering dan sangat nengambil berat.

Kami meluangkan masa selama 3 minggu, menyampaikan bantuan dari kem ke kem, makan dan tidur bersama malah bergurau senda bersama. Senang cerita, dia ibarat abang kami selama berada di sana.

Apabila apartment kami dikepung polis, dia lah yang datang dari Syria seawal subuh untuk membawa kami keluar ke kawasan yang lebih selamat. Dia lah yang banyak memberi nasihat tentang keselamatan dan sebagainya.


Tetapi di sebalik wajah biasa seorang rakyat Syria, ada kisah yang terlindung di sebaliknya. Kisah dia dan keluarga sewaktu berlaku revolusi rakyat menentang rejim Bashar. Kehidupan mewah bersama keluarga hilang sekelip mata.

Perniagaan dijalankan keluarga musnah semuanya. Apa yang lebih berat untuk ditanggung ialah dua ahli keluarganya meninggal dunia apabila bomb dijatuhkan oleh rejim Bashar di kediaman mereka.

Sejak itu, keluarganya mula menyertai puak penentang Bashar bersama rakyat lain demi membalas nyawa ahli keluarga yang terbunuh. Mereka antara puak penentang terawal yang menentang Bashar.

Ketika itu masih tiada campur tangan dari negara-negara luar. Ketika dia menyertai puak penentang bersama ahli keluarga yang lain, adiknya syahid dalam perjuangan. Bandar yang dulu aman kini kacau bilau. Rakyat dan rejim saling berbunuhan antara satu sama lain.

Hari demi hari keadaan semakin tidak terkawal, lebih banyak rakyat yang mati dibunuh. Katanya pernah suatu ketika, rejim Bashar masuk ke kawasan kampungnya dan menawan kira-kira 200 penduduk. Mereka dibawa ke suatu dewan yang besar dan di situ mereka dibunuh beramai-ramai.

Dia mampu melihat dan berjalan di celahan mayat-mayat untuk mencari jika ada yang masih bernyawa. Dia berjaya menemui seorang bayi yang masih hidup. Saya tanya kenapa mereka dibunuh? Kerana rejim Bashar mendapat tahu bahawa ada sekumpulan penduduk kampung yang menentang Bashar maka harus dibunuh semuanya. Kejam!


Kisah demi kisah saya dengar dan cuba fahami apa yang masih tersirat di sebalik semuanya.

Bashar seorang pemimpin diktator yang tiada erti kalah dalam hidupnya. Dia adalah pemimpin yang disenangi sewaktu di zaman pemerintahan. Pemimpin yang disenangi dan rakyatnya juga harus menyenangi hati dia.

Jangan sesekali berkata jahat tentang dia. Sewaktu bermula revolusi rakyat menentang Bashar, ianya hanya di atas dasar demokrasi. Mereka mahu suara mereka didengar bukan didiam.

Tetapi malangnya, suara-suara bukan sahaja didiamkan tetapi dibalas dengan tumpahan darah. Dari sini bermulanya revolusi yang memasuki fasa ‘keep silence or dead’.

Dalam kekalutan rakyat berdemokrasi, bermusuhan, berbunuhan, timbul pula isu lebih besar dari demokrasi iaitu akidah. Isu Sunni-Syiah ini yang membawa kepada kehancuran sebenarnya sehingga hari ini. Rejim Bashar yang dahulunya mempunyai penganut Sunni dan Syiah, kini rejim yang menganut Sunni dibunuh atas dasar berbeza akidah.

Padahal dahulu mereka boleh bersama dibawah satu bumbung. Sempat juga saya menemui beberapa pelarian yang dahulunya adalah askar Bashar, dan kerana diri mereka adalah Sunni maka terpaksa lari dari negara kerana diancam bunuh.

Tahun demi tahun berlalu, Syria bukan lagi hanya bermusuhan antara rakyat mereka tetapi terpaksa bercampur tangan dengan kuasa luar Amerika, Russia, Iran dan lain-lain. Bukan setakat kuasa luar, tetapi Syria didatangi puak paling digeruni di dunia iaitu ISIS.

Kuasa-kuasa luar yang dalam senyuman diplomatik mereka adalah untuk membantu dan memerangi puak penentang dan pengganas ISIS, tetapi rupanya ada gajah di balik batu. Maka terlihat seperti rakyat biasa yang disasarkan sebagai pengganas. Bukan mengurangkan keganasan, tetapi menambahkan lagi pertumpahan darah dari kalangan rakyat biasa.

Aku sempat bertanya, siapakah ISIS dan wujudkah mereka di Syria? Kata dia, Ya. Mereka ini datang dari negara luar dan membentuk satu kuasa untuk berhadapan dengan rejim Bashar dan kuasa-kuasa luar. Jadi mereka ibarat hero luar datang untuk membawa kemenangan.

Tetapi anehnya, mereka bukan sahaja membunuh rejim Bashar dan sekutu luar tetapi juga memerangi puak penentang Bashar yang lainnya. Malah, rakyat Syria yang tidak berdosa dibunuh oleh mereka.

Jadi siapakah ISIS? Saya jadi lebih bingung. Kata dia mudah, sesiapa yang tidak mahu mengikuti dan bersama ISIS akan dikira musuh dan akan dibunuh, walaupun dia seorang Islam.

Dia juga pernah diajak untuk sertai ISIS oleh kawan baiknya yang dahulu bersama memulakan revolusi. Tetapi apabila ditolak, kawannya itu terus mengkafirkan dan katanya jika dia berhadapan pasti akan dibunuh. Tidak dapat dinafikan bahawa isu ISIS dan puak penentang yang lain ini agak kompleks untuk dibahaskan. Dia juga turut mengakuinya.

Keadaan bertambah keliru dan bercelaru. Rakyat Syria yang dahulu menyertai revolusi mahu menentang Bashar kini seakan berpecah tiada haluan. Puak penentang asal yang memulakan revolusi dan mahukan demokrasi kini kian hilang dan tidak berkuasa.

Semuanya sudah berpecah-belah dek kerana datangnya ISIS dan kuasa luar. Dan kini, rakyat Syria tidak tahu dan bingung mahu percaya dan mengikuti siapa. Semuanya pasti akan membawa kepada kemusnahan.

Baca: 7 Fakta Gas Sarin Yang Digunakan Untuk Membunuh Rakyat Syria


Jadi siapakah Bashar?

Katanya, dia adalah manusia yang paling zalim. Dia sepatutnya menjaga nyawa setiap rakyatnya, tetapi dia lah yang menumpahkan darah setiap dari rakyatnya. Dia lah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Bukan hanya dalam konteks seorang pemimpin yang zalim, tapi sebagai seorang manusia Islam, dia turut dijadikan Tuhan.

Sempat dia mencelah soalan sambil tersenyum sinis kepada aku, apa yang akan kamu lakukan jika melihat pemimpin kamu disembah sebagai Tuhan?

Jika nak diceritakan apa yang rejim Bashar telah lakukan kepada dia dan kawan-kawannya, pasti tiada siapa yang akan percaya. Dia bersama kawan-kawan ditangkap oleh rejim, dan disuruh untuk menyembah Bashar sebagai Tuhan.

Apabila mereka menolak, satu persatu di tembak sehingga mati. Ketika pistol diletakkan di kepala dia sempat mengucapkan “laknat Bashar”, dan rejim tersebut menembak di bahagian leher dengan niat untuk diseksa mati secara perlahan. Tetapi ajal bukan ditangan mereka, dia masih bernyawa. Sempat juga saya lihat parut tembakan di leher yang masih jelas kelihatan.

“Aku boleh lari dan tinggalkan Syria dan melupakan apa yang terjadi, tetapi aku memilih untuk bersama di bumi barakah demi ketidakadilan, kezaliman, kekuasaan, kegilaan yang berlaku disana. Dan sesuatu yang tidak sama sekali aku tinggalkan di sana adalah Islam”. Katanya.

Cerita pengalaman yang saya dapatkan ini terpaksa saya telankan sambil cuba untuk memahami dengan lebih mendalam. Cerita pengalaman yang saya dengarkan ini hanya sebagai perkongsian dari seorang manusia kepada manusia.

Saya tidak dapat mengiyakan sesuatu yang tidak pernah saya alami di depan mata sendiri, tetapi cukup hanya sekadar mendengar dan memahami apa yang diceritakan.

Kita ada jawapan sendiri siapa itu “Bashar Al-Assad”.

Nazim Efendy,
Pendengar cerita,
Malaysia

No comments