20 Kakitangan FAM Ditamatkan Perkhidmatan Serta-Merta

Kuala Lumpur - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan 20 kakitangan badan induk itu ditamatkan perkhidmatan.

Hamidin menerusi satu kenyataan hari ini, menjelaskan tindakan itu diambil atas persetujuan Presiden dan EXCO FAM.

Katanya, langkah itu juga bagi menyusun semula organisasi berkenaan dengan tujuan menjaga dan mengawal kewangan FAM.

"Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (yang juga) Tunku Mahkota Johor dan barisan EXCO bersetuju untuk menyusun semula organisasi FAM.

"Ia bertujuan untuk menjaga dan mengawal kewangan persatuan. Ia juga turut bertujuan untuk tidak membazirkan duit persatuan seperti apa yang Tunku Presiden maklumkan iaitu berbelanja dengan berhemah disebabkan sebelum ini banyak sangat pembaziran.

"Seramai 20 kakitangan pentadbiran dan teknikal ditamatkan perkhidmatan dalam FAM untuk memastikan perjalanan organisasi ini mencapai hala tuju yang sepatutnya," kata Hamidin.

Selain itu, Hamidin turut menjelaskan penamatan perkhidmatan itu dimaklumkan kepada kakitangan terbabit hari ini dan mereka akan menerima pampasan tiga bulan gaji.

"Mereka dimaklumkan hari ini berserta notis dan tiga bulan gaji akan dibayar sepenuhnya sebelum 15 April ini.

"Untuk makluman semua, semua unit dan jabatan di FAM akan diseragamkan serta digabungkan mengikut organisasi ditetapkan," kata Hamidin.

No comments