Kemenangan 'Luar Biasa' Trump Bukti Kuasa Pengundi - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah atas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, hari ini.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu kemenangan “luar biasa” dan sekali gus membuktikan kepada ahli-ahli politik agar tidak boleh mengambil mudah terhadap kuasa pengundi.

“Undian pendapat, tokoh politik terkemuka, semuanya memandang rendah kepada kekuatan penyokongnya. Ikrar beliau kepada rakyat Amerika yang terpinggir – mereka yang ingin melihat kerajaan lebih memberi tumpuan kepada kepentingan dan kebajikan dan kurang terlibat dalam campur tangan asing terbukti bertentangan dengan kepentingan AS – menjadi faktor kemenangan Trump ke atas Rumah Putih,” kata beliau menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Trump memenangi pilihan raya presiden AS sebentar tadi dengan memperolehi 276 undi menewaskan pencabarnya, Hilary Clinton daripada parti Demokrat yang meraih 218 undi.

Menurutnya, seluruh dunia menyaksikan penuh minat pilihan raya presiden tahun ini dan memberikan kejutan kepada setiap ramalan yang dibuat pelbagai pihak.

“Pada 2014, AS dan Malaysia mempertingkatkan hubungan kita dengan perkongsian komprehensif, dan kami sekutu dalam memperjuangkan penentangan terhadap keganasan dan ekstremisme.

“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini di bawah pimpinan Presiden Trump. Saya mengucapkan tahniah atas kemenangan luar biasa ini, dan berharap untuk bertemu sekali lagi tidak lama lagi,” katanya.

No comments