Pelajar Meninggal Dunia Disyaki Akibat Kencing Tikus

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol dekat Melor, Kota Bharu meninggal dunia kira-kira 10 pagi tadi dipercayai akibat kencing tikus.

Muhammad Fikri Farizaq Mukhtar, 15, sebelum itu demam berlarutan sejak 1 Ogos lalu selepas mandi di Jeram Mak Nenek, Selising, di sini pada 27 Ogos.

Ibunya, Siti Rakiah Abu Hanifah, 46, berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu pada mulanya disyaki menghidap demam denggi berikutan demam menggigil, kurang selera makan dan muntah sehingga keluar darah.

"Dia dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA), di sini dan keadaannya semakin tenat semalam. Siasatan doktor membawa kemungkinan arwah dijangkiti kencing tikus.

"Dia menghembuskan nafas terakhir pagi tadi kira-kira 10 pagi," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Jerus, Selising, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dan suami Mukhtar Awang, 58, hanya mengetahui anak mereka mandi di jeram itu selepas diberitahu arwah ketika masih mendapatkan rawatan.

Jenazah Muhammad Fikri Farizaq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerus, di sini, hari ini.

No comments