Datin Paduka Seri Norashikin Dilantik Tengku Permaisuri Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik isteri baginda Norashikin Abd Rahman sebagai Tengku Permaisuri Selangor berkuatkuasa semalam.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Dewan di-Raja Selangor, baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kepada Tengku Permaisuri Norashikin yang membawa gelaran Datin Paduka Seri.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 8 September 2016 telah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran SPMS kepada isteri baginda, Yang Amat Berbahagia Puan Norashikin Abd Rahman.

"Baginda juga telah melantik Yang Amat Berbahagia Puan Norashikin Abd Rahman sebagai Tengku Permaisuri Selangor berkuatkuasa 8 September 2016 dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin," kata kenyataan itu.

Baginda selamat diijab kabul di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 31 Ogos lepas.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Munir Bani berkata, baginda dinikahkan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam majlis pernikahan yang sederhana dan ringkas atas titah baginda.

No comments