Budak 4 Tahun Maut Patah Leher Dihentak Beg Udara

Seorang budak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai akibat terkena hentakan beg udara ketika kereta dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Gong Kemuntung, Jertih tengah hari tadi.

Mohd Syawal Amsyar Mohd Fakhruzi dari Subang Jaya, Selangor, cedera parah kepala dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Besut.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah hari apabila kereta dipandu bapanya, Mohd Fakhruzi Sepian, 32, dalam perjalanan dari Kampung Raja ke bandar ini.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dalam keadaan kereta yang sesak, kereta dipandu bapa mangsa terlanggar kereta di depan.

“Mangsa yang ketika itu berdiri di kerusi penumpang bahagian depan dipercayai terkena hentakan beg udara yang keluar menyebabkan lehernya patah,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa, Norma Mohd, 30, yang duduk di belakang tidak cedera.

"Pemandu dua lagi kereta yang turut terbabit dalam kemalangan itu juga tidak cedera," katanya.

No comments