Kematian Tiga Beranak Di Kota Samarahan Diklasifikasikan Kes Bunuh - Polis

Polis Sarawak mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang wanita bersama dua anak lelakinya, masing-masing berusia empat dan tujuh tahun di Kampung Baru, Kota Samarahan, malam tadi, sebagai kes bunuh.

BACA: Ibu Gantung Diri Selepas Bunuh Anak

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar, berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukannya kes kematian mengejut (SDR) seperti laporan awal.

Katanya, polis sedang meneliti laporan perubatan bagi membantu siasatan kes berkenaan, termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

"Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak kini mengambil alih siasatan kes berkenaan, dengan siasatan turut menjurus kepada perlakuan jenayah dalam kes penemuan mayat tiga sekeluarga ini," katanya dalam kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, seorang wanita, Rohani Mohamad, 37, bersama dua anak lelakinya, Mohd Ikmal Danish, 4, dan Adam Hadiman, 7, ditemui mati dalam sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Kota Samarahan.

Difahamkan, mayat wanita berkenaan ditemui tergantung dalam tandas di rumah itu, manakala kedua-dua anak lelakinya ditemui dalam bilik tidur dengan keadaan bibir kehitaman.

Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui botol cecair peluntur di sisi mayat dua kanak-kanak lelaki itu.

No comments