(Video) Penuntut IPTS Cedera Diragut Ketika Tunggu Teksi

Mahasiswi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) cedera selepas diragut tiga lelaki bermotosikal berdekatan gereja di Jalan Tun Sambanthan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, kejadian 12.20 tengah hari itu berlaku ketika wanita berusia 20 tahun terbabit sedang menunggu teksi di hadapan pondok pengawal gereja berkenaan.

Katanya, mangsa didatangi tiga lelaki menungang dua motosikal yang pada mulanya cuba memasuki kawasan gereja terbabit.

"Bagaimanapun dua suspek menaiki satu motosikal berpatah balik dan meragut beg silang milik wanita berkenaan tetapi tidak berjaya dan mangsa terjatuh.

"Lalu, seorang daripada suspek menunggang motosikal sendirian di belakang mereka pula cuba mengambil telefon bimbit daripada mangsa sebelum melarikan diri," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Zainol, mangsa yang cedera di kepala, tangan dan kaki dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, untuk rawatan.

Katanya, pihaknya sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada gereja berkenaan dan keterangan daripada saksi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun yang mendatangkan kecederaan," katanya.

No comments