(Video) Penunggang Motosikal Tak Boleh Guna Lorong Kecemasan - Polis

Beberapa hari lalu, viral di laman media sosial Facebook yang menggesa penunggang motosikal menyertai kempen ‘Terajang Side Mirror’.

Ekoran banyak insiden yang berlaku disebabkan faktor kecuaian atau pemanduan yang tidak berhemah, kempen tersebut menyarankan agar penunggang motosikal menendang kereta yang memasuki lorong kecemasan, menukar lorong tanpa memberikan lampu isyarat, memotong barisan dan memarkir di garisan kuning berkembar.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain berkata, penunggang motosikal yang melanggar undang-undang dengan merosakkan kenderaan lain yang menggunakan lorong kecemasan, boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat, lapor News Straits Times.

“Ia adalah satu kesalahan, tanpa menghiraukan sama ada ia niat penunggang motosikal itu untuk menghalang atau menghalau pemandu lain dari menggunakan lorong kecemasan,” ujarnya ketika dihubungi oleh akhbar berkenaan bagi menjawab isu yang sedang viral yang mendapat ‘Like’ lebih dari 10,000 dan pengkongsian melebihi 14,000.

Katanya lagi, walau pun mahu memberikan pengajaran kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan lorong kecemasan atas dasar kepentingan sendiri, dengan menendang atau merosakkan kenderaan yang terbabit, penunggang motosikal ini dinasihatkan tidak ‘membuat undang-undang sendiri’.

No comments