(Video) Lelaki Mati Ditembak Secara 'Live' Di Facebook

Sehari selepas seorang anggota pelampau menyerang seorang polis Perancis dan menyiarkan secara langsung rakaman mangsa di rumahnya melalui Facebook Live, seorang lelaki Chicago ditembak mati ketika mengambil video yang secara langsung disiarkan di laman sosial tersebut.

Menerusi video Facebook Live itu, Antonio Perkins, 28, secara tidak sengaja merakam detik kematiannya pada Rabu lalu.

Pada mulanya, mangsa dilihat bergaya di hadapan kamera telefon pintarnya, sama seperti merakam gambar selfie sebelum bunyi beberapa das tembakan kedengaran.

Video itu bagaimanapun tidak berjaya merakam imej penembak memandangkan kejadian berlaku pada pukul 8.43 malam waktu tempatan ketika hari sudah gelap.

Sejurus bunyi tembakan kedengaran, telefon dipegang Perkins terjatuh dan hanya sua­ra jeritan seorang wanita boleh didengar.

“Oh Tuhanku! Cepat hubungi polis! Cepat! Tony, jangan risau, anda akan selamat!,” jelas suara beberapa orang individu yang berada di tempat kejadian merujuk kepada Perkins yang juga dipanggil Tony.

Menurut polis, Perkins terbunuh akibat kecederaan di leher dan kepala, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Jelas polis lagi, mangsa pernah menganggotai kumpulan gengster, tetapi beberapa orang yang mengenali Perkins memberitahu, dia tidak lagi menyertai kumpulan berkenaan.

No comments