(Video) Bukan Terkena Sihir, Neelofa Temu Haron Din Minta Pendinding

Pelakon Noor Neelofa Mohd Noor menafikan terkena buatan orang selepas gambarnya berubat dengan Datuk Dr Haron Din dimuat naik di Instagram.

Pengacara MeleTop berkata pengamal perubatan Islam terkenal itu, yang juga mursyidul am PAS, biasa menyediakan air pendinding pada setiap kali mengadakan kunjungan ke rumahnya.

“Video itu tidak bermaksud apa-apa. Saya tidak terkena buatan orang (sihir) seperti mana yang difikirkan ramai,” kata Neelofa, 27, seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

“Hubungan keluarga saya dan ustaz (Haron Din) agak rapat. Malah, keluarga kami selalu berkunjung ke kediaman masing-masing.

“Jadi ia sudah menjadi kebiasaan buat kami sekeluarga untuk meminta khidmat kepakaran ustaz apabila beliau berkunjung ke rumah kami”.



Pelakon filem Pilot Cafe memuat naik beberapa video pendek pertemuannya bersama Haron di Instagram miliknya pada Sabtu.

Satu daripada video itu menunjukkan Haron menggosok dan menepuk belakang badan Neelofa sambil membacakan sesuatu dengan sebelah tangan lagi memegang botol air.

Video ini mendapat kritikan pengguna Internet kerana ulama terkenal ini menyentuh pelakon tersebut, amalan yang mereka percaya tidak wajar di sisi agama.

Namun, jurucakap pusat perubatan Darussyifa yang didirikan oleh tokoh itu berkata Haron membacakan doa dan ayat ruqyah ketika merawat usahawan tudung Naelofar Hijab.

“Memang terdapat kaedah meletakkan tangan di tempat sakit. Jika wanita hanya diletakkan di bahagian belakang sahaja namun tidak semua rawatan perlu menyentuh pesakit.

“Ayat ruqyah adalah ayat daripada sumber al-Quran yang digunakan dengan cara tersusun, amalan sunnah Rasulullah serta kaedah lain sebagai ikhtiar merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau rohani yang selaras dengan kehendak syarak,” kata jurucakap kepada akhbar sama.

No comments