Tandas Tersumbat, Rupanya Ada Mayat Bayi

Seorang lelaki terkejut selepas mendapati ‘objek’ yang ditemui ketika sedang mengorek lubang tandas di kediamannya merupakan mayat bayi perempuan yang cukup sifat, dalam satu kejadian di bandar raya di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Sumber berkata, sebelum kejadian, lelaki berkenaan terpaksa mengambil inisiatif mengorek lubang tandas baru di rumahnya selepas mendapati lubang tandas sedia ada tersumbat.

“Bagaimanapun, semasa sedang mengorek lubang tersebut, peralatan yang digunakan terkena satu ‘objek’ dan terkejut apabila mendapati ‘objek’ itu merupakan mayat bayi perempuan yang cukup sifat,” katanya.

Sumber berkata, mayat bayi yang disahkan cukup bulan itu mengalami kecederaan dipercayai di bahagian kepala kerana terkena peralatan digunakan lelaki tersebut.

Jelas sumber, meskipun terkejut dengan penemuan itu, lelaki terbabit bertindak menyiasat ahli keluarganya yang tinggal bersama termasuk adik iparnya yang belum berkahwin.

“Setelah disoal siasat oleh ahli keluarga, wanita berusia 27 tahun itu akhirnya mengaku baru keguguran sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Mayat bayi seberat 2.1 kilogram (kg) itu diserahkan kepada pihak hospital untuk dibedah siasat manakala wanita itu ditahan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian daripada seorang doktor yang bertugas di HSNZ, di sini, kelmarin.

“Doktor wanita itu memaklumkan menerima bayi perempuan yang cukup sifat dalam keadaan tidak bernyawa daripada ahli keluarga kira-kira jam 9.30 malam, Jumaat lalu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

No comments