Remaja Cedera Di Leher, Badan Akibat Mercun

Remaja berusia 14 tahun cedera di leher dan badan akibat terkena letupan mercun di Kampung Tok Kah, di sini, 9.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu, Haiqal Firdaus Mohd Abdullah dikatakan bermain mercun sendirian kira-kira 200 meter dari rumah neneknya.

Selepas terkena letupan mercun terbabit, mangsa yang kesakitan berlari ke rumah neneknya dan memaklumkan kejadian itu.

Neneknya kemudian menghubungi ibu saudara mangsa, Noriah Awang 41, sebelum dibawa ke Hospital Dungun.

Mangsa yang dilaporkan dalam keadaan stabil kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

No comments