Punca Sebenar Bekas Menteri Kini Jadi Pemandu Uber

Matlamat tiga dalam satu menjadi pendorong buat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi pemandu Uber.

Menurut laporan NST Online, Abdul Wahid mendaftarkan diri sebagai pemandu Uber pada Khamis lalu dan ia adalah hasratnya selama ini, namun beliau tidak boleh merealisasikannya kerana ketika itu beliau adalah seorang menteri dan kerajaan belum memutuskan status Uber di negara ini.

Portal berita itu memetik perbualan aplikasi WhatsApp antara tokoh perbankan berkenaan dengan pengguna Facebooknya, Datin Orked Ahmad yang merupakan adik kepada pengarah filem terkenal Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang dimuat naik ke Facebooknya.

Menurut Abdul Wahid, objektif 3 dalam 1 itu ialah beliau mahu merasai pengalaman menjadi pemandu teksi, selain mempromosikan Proton Perdana yang dilancarkan Selasa lalu.

Beliau juga mahu mengumpul dana bagi tujuan kebajikan dan semua wang itu akan disumbangkan kepada badan amal yang dikenal pasti kemudian.

Tambahnya, rakan-rakannya telah berjanji akan turut menyumbang kepada usaha Abdul Wahid itu dan setakat ini beliau telah melengkapkan lapan perjalanan dan terus membawa penumpang pagi tadi.

“Sehingga kini, saya telah mendapat 30 kali ‘top-up’. Ini bermakna perjalanan berharga RM30 dari Kementerian Komunikasi (dan Multimedia) di Putrajaya ke KL Sentral bernilai RM900 untuk kebajikan!” tulisnya.

Semalam, Abdul Wahid mendapat pujian dan penarafan lima bintang daripada seorang penumpang Uber, Firdaus Fadzil yang menceritakan pengalaman itu di Facebooknya.

Beliau menyifatkan ia sebagai hari bertuahnya apabila mendapati Abdul Wahid adalah pemandu di sebalik kereta Proton Perdana berwajah baru yang dilancarkan empat hari lalu.


“Menaiki Uber ke pejabat yang dipandu mungkin salah seorang daripada pakar ekonomi dan korporat paling berjaya dengan Perdana barunya,” tulis Firdaus dengan lokasinya tertera Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya semalam.

Catatan itu diterima baik pelbagai pengguna Facebook dengan sebahagian besar daripada mereka memuji “sikap rendah diri” Abdul Wahid dan menyifatkan ia sebagai saat-saat “luar biasa”.

Abdul Wahid dikatakan menggunakan sebuah Perdana baru yang dipinjamkan kepadanya untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan itu memandangkan keretanya sudah berusia 10 tahun dan tidak memenuhi syarat-syarat kereta tidak melebihi lapan tahun yang ditetapkan Uber.

Dalam komen susulan kepada catatannya itu, Firdaus berkata, beliau terkejut apabila Abdul Wahid menyebut namanya setibanya di lokasi.
“Saya terkejut dia tahu nama saya. Pengalaman ini hanya menelan kos RM30. Pelanggan Uber yang sangat gembira,” tulis Firdaus.

No comments