Peserta 'The Voice' Christina Grimmie Mati Ditembak Lelaki Bersenjata

Penyanyi Christina Grimmie yang juga peserta rancangan realiti popular The Voice di saluran NBC, maut pada Jumaat selepas ditembak di sebuah konsert di Orlando, Florida oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali.

Lelaki tersebut kemudiannya menembak diri sendiri, kata polis.

"Dengan rasa kesal, kami mengesahkan Christina Grimmie telah meninggal dunia akibat kecederaan ditembak," kata Jabatan Polis Orlando dalam akaun Twitter rasmi.

Ketika kejadian, Christina, 22, sedang mengadakan persembahan dengan kumpulan Before You Exit di Orlando’s Plaza Live dan sempat meluangkan masa menandatangani autograf buat peminat.

Seorang lelaki, yang bersenjatakan dua senjata api, berjalan ke arah Christina dan menembak beliau, kata polis.

"Abang Christina yang berada di tempat kejadian segera mengejar suspek, namun suspek kemudian menembak dan membunuh dirinya sendiri,” terang polis.

Christina kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Daerah Orlando.

Motif lelaki bersenjata itu yang masih belum dikenal pasti itu setakat ini masih tidak jelas.

"Kita tidak tahu jika dia hanya seorang peminat gila yang mengikutnya di Twitter atau di media sosial. Kami benar-benar tidak tahu.

"Ini adalah satu acara yang sangat tragis. Ia sepatutnya tidak berakhir seperti ini," kata jurucakap polis Wanda Miglio dalam satu sidang akhbar.

Christina, yang bertanding dalam musim keenam ‘The Voice’ pada tahun 2014, menerbitkan EP pertamanya pada tahun 2011 berjudul Find Me.

No comments