Pengunduran Mahathir Kembalikan Zaman Keemasan Proton - Najib

Pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan Pengerusi Proton Holdings Bhd (Proton) digambarkan sebagai lembaran baharu yang membolehkan syarikat itu kembali ke zaman keemasannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan sukacitanya menyatakan bahawa terdapat perubahan besar di peringkat atasan Proton yang dipercayai dikaitkan dengan pengunduran Dr Mahathir.

“Era campur tangan politik Tun Mahathir sudah pun berakhir. Kita dapat lihat akibatnya awal tahun ini. Sebuah syarikat pengeluar, yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara, telah menghadapi keadaan yang amat menyulitkan,” katanya pada majlis pelancaran generasi keempat Proton Perdana di Putrajaya.

Pada 30 Mac yang lalu, Dr Mahathir yang menjadi pengerusi Proton sejak 2014 berundur dari jawatan itu secara rasminya.

Dalam pada itu, Najib akui kerajaan akan terus komited untuk melindungi pekerja dan pembekal syarikat, tetapi menjelaskan bahawa beliau juga menjangka agar Proton menangani kelemahan struktur dalaman syarikat tersebut.

“Keperluan untuk suntikan tunai mendedahkan bahawa terdapat kelemahan struktur yang serius dalam Proton. Justeru, sekarang adalah masanya untuk mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku, serta melaksanakan langkah dan pembaharuan supaya Proton kembali di landasan betul untuk merealisasikan potensi sebenarnya sekali lagi,” jelasnya.

Turut diakui, menjelang pelancaran Proton perdana yang baharu, sebanyak 900 unit telah sekali gus membuktikan keyakinan orang ramai terhadap Proton dan model baharu itu.

“Pengurusan baharu Proton juga memberitahu saya bahawa mereka yakin pelanggan bukan sahaja akan menyukai penampilan menawan Perdana, malah akan tertarik dengan pemanduannya. Saya harap Proton akan kembali berjaya,” ujar Najib lagi.

Tambah beliau kerajaan sentiasa bersedia bekerjasama dengan sektor swasta dalam menggalakkan perusahaan, pembangunan dan pertumbuhan perniagaan tetapi dengan syarat syarikat itu menjamin akan memberikan keputusan yang memberansangkan.

No comments