PAS Lebih Nasionalis, ‘Keris Lebih Panjang’ Daripada Umno - Mahathir

PAS kini “lebih nasionalis daripada Umno” kerana keris parti Islam lebih panjang daripada parti Melayu itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri juga berkata PAS kini menelan kembali kritikan yang pernah dilemparkan kepada Umno dengan mengenakan kostum pakaian Melayu semasa muktamar Dewan Pemuda minggu ini.

“Sebelum ini mereka kritik Umno jadi nasionalis. Sekarang mereka lebih nasionalis kerana keris mereka lebih panjang daripada Umno.

“Kita ukur nasionalisme berdasarkan kepanjangan keris. Lebih panjang keris lebih nasionalis. Sekarang mereka sudah sedar mereka orang Melayu,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur petang ini.

Beliau menyindir presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan pemotong berbentuk keris, sementara kek pulut itu pula berlambangkan logo parti ketika merasmikan muktamar.

Pada perasmian muktamar Pemuda PAS, timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan timbalan sayap itu Muhammad Khalil Abdul Hadi tampil berpakaian ala pahlawan Melayu lengkap bertanjak serta menyelit keris di pinggang ketika berjalan memasuki dewan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir diminta mengulas buku grafik politik “ABC Politikus Malaysia” yang dihadiahkan kepadanya semalam.

Katanya, tiada apa yang hendak dikejutkan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “lebih teruk” daripada pentadbirannya.

“Saya tidak terkejut apa pun. Saya 22 tahun jadi perdana menteri, macam-macam orang kata. Rasuah itu dan ini, saya tidak terkejut,” katanya.

“Mereka boleh buat apa yang mereka suka. Anda tengok Najib, dia lebih teruk lagi. Anda melihatnya (Najib) tersenyum tetapi badannya terdedah.”

Dr Mahathir diperihatkan karikatur tentang dirinya yang dilabel “diktator” dalam buku itu, karya pelukis grafik Fahmi Reza.

Fahmi akan dihadapkan di mahkamah esok bawah Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung karikaturnya yang menggambarkan Najib sebagai “badut”.

No comments