Mula Daripada Sedekah, Bubur Lambuk Kampung Baru Kini Bawa Untung

Kedatangan bulan Ramadan pastinya dinanti warga kota yang mahu merasai keenakan juadah bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru.

Diedarkan secara percuma untuk berbuka puasa, bubur itu juga mampu mendatangkan keuntungan lumayan sehingga jualannya mencecah lebih RM10,000 sehari.

Ramai pelanggan yang sanggup datang beratur selain menerima tempahan dari bank ternama dan syarikat korporat.

“Ada pelanggan dari Petronas, CIMB, Petron yang datang buat tempahan,” kata Abu Bakar Mohamad, 70, pemilik gerai terkenal Bubur Lambuk Pak Hassan di Jalan Raja Abdullah.

Kejayaan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Pak Hassan bermula sebagai ahli kariah Masjid Jamek yang terletak beberapa meter dari gerainya.

“Kalau nak jual bubur lambuk Kampung Baru, kamu perlu bekerja sebagai tukang masak masjid. Kemudian barulah ia diiktiraf sebagai bubur lambuk Kampung Baru yang asli,” katanya kepada Malay Mail Online.

Bubur Lambuk Masjid Jamek dikatakan peminatnya sebagai yang paling terbaik dan asli.

Namun ada juga yang meniru cara masakan dan mendakwa ia resepi asal seperti yang dimasak di masjid.

Malah ada juga yang mendakwa arwah bapa atau bapa saudara bekerja sebagai tukang masak di masjid walaupun tidak dapat dibuktikan.


Kisah tentang bubur lambuk Kampung Baru datang daripada seorang lelaki bernama Haji Said yang membawa hidangan itu untuk dikongsikan bersama rakan untuk berbuka puasa di masjid kira-kira 90 tahun lalu.

Dikatakan kawan-kawan Haji Said menggemarinya dan kemudian beliau meminta isterinya memasak lagi bubur untuk mereka.

Bubur tersebut menjadi semakin terkenal sehingga penduduk sekitar mula menawarkan ramuan untuk dimasak menjadi bubur. Akhirnya, masjid tersebut membuat keputusan untuk menyediakan dan mengedarkannya sebagai hidangan berbuka di situ.

“Apa yang kami belajar daripada Haji Said, ramuan yang digunakan untuk masak bubur lambuk sama seperti dahulu.

“Tanyalah sesiapa sahaja. Jika mereka pernah cuba bubur, dalam 20 tahun lalu, mereka akan kata rasanya sama,” kata Zainal Abidin Abdul Hamed, 63, ketua tukang masak yang sudah berkhidmat untuk masjid itu selama 36 tahun.

No comments