Menantu Zahid Hamidi Meninggal Ketika Buat Rawatan Gigi

Menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam tadi, Syed Alman, 44, suami kepada Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 37, tidak sedarkan diri ketika membuat rawatan gusi di sebuah klinik pergigian di Bangsar.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke PPUM sebelum disahkan meninggal dunia. Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, mengesahkan berita kematian itu.

"Jenazah Allahyarham kini berada di PPUM," katanya ketika dihubungi, malam ini. Syed Alman Zain meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak iaitu Arjuna Iskandar, Zaheed Alwi dan Khadeeja Sofea.

Sementara itu, Nurulhidayah dalam kemaskini di Instagram miliknya kira-kira pada jam 11 malam tadi menzahirkan rasa sedih atas kehilangan itu.

"Al Fatihah. Syed Alman Zain bin Syed Alwi. Great Papa. Responsible husband. I lost someone that I can argue with. Bye sayang," katanya.

(Al Fatihah. Syed Alman Zain bin Syed Alwi. Ayah yang baik. Suami yang bertanggungjawab. Saya kehilangan seseorang untuk berbicara. Bye sayang)

Difahamkan, Ahmad Zahid dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas lawatan kerja di Jepun dan dijangka tiba pada awal pagi nanti.

Sementara itu, seorang pegawai dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri berkata, Ahmad Zahid menerima berita itu ketika baru tiba di Osaka dari Tokyo.

Beliau berkata, berita sedih itu dimaklumkan kepadanya melalui panggilan telefon jam 9 malam waktu tempatan.

Timbalan Perdana Menteri baru saja tiba di hotel penginapan ketika menerima panggilan dan bergegas semula ke lapangan terbang sebelum berlepas ke Kuala Lumpur sejurus tengah malam.

Beliau berada di Jepun dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun iaitu Tokyo dan Sendai, sebelum berlepas ke Osaka semalam.

No comments