Lesen Rayani Air Dibatalkan Berkuatkuasa Hari Ini

Syarikat penerbangan berkonsepkan patuh syariah, Rayani Air, hari ini dibatalkan lesen perkhidmatan udaranya, menurut kenyataan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM berkata keputusan itu dibuat selepas Rayani Air melanggar syarat yang ditetapkan lesen tersebut di samping kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi.

“Oleh yang demikian, Rayani Air tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial berkuatkuasa hari ini,” kata MAVCOM dalam kenyataannya.

Pada 25 Mei, MAVCOM mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rayani Air mengenai daya tahan kewangan dan daya saing syarikat tersebut.

Surat balas yang dihantar Rayani Air pada hari terakhir tempoh yang ditetapkan MAVCOM, bagaimanapun, gagal memberi penjelasan memuaskan, kata kenyataan itu.

Sementara itu, suruhanjaya itu berkata syarikat itu perlu memulangkan wang kepada pengguna yang membeli tiket.

“Sekiranya pengguna gagal mendapat pulangan wang, para pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan tersebut berdasarkan undang-undang sedia ada.

Sebelum ini, Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air digantung tiga bulan berkuat kuasa 11 April.

Penggantungan itu dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas syarikat yang baharu beroperasi pada Disember 2015 itu mengumumkan menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA pada 8 April lepas.

No comments