Lepas ‘Jubah Pahlawan’, Muncul ‘Kurta Pendekar’ Pula

Kurta iaitu pakaian tradisional masyarakat lelaki India kini menjadi 'trend' dan pilihan orang ramai untuk digayakan pada Aidilfitri tahun ini.

Permintaan terhadap pakaian itu nyata mendapat sambutan luar biasa di media sosial mahupun di pusat-pusat beli-belah kerana ciri-cirinya yang lebih ringkas dan senang digayakan walaupun bukan pada musim perayaan.

Bagi Mohamad Suhaib Mohd Mahfdzuz, 28, dan adiknya Mohamad Salman, 23, dari Johor Baru, mereka menjual kurta di laman sosial Facebook dan Instagram dengan menggunakan identiti “Uwais.clo”.

Mohamad Suhaib yang merupakan ahli fisioterapi di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor berkata perniagaan mereka berdua yang baru setahun itu menggunakan jenama Pendekar nyata mendapat tempat di hati pelanggan tanpa mengira usia

Mereka menggunakan slogan “Kurta Pendekar-Dress Like A Man, Walk Like A Man. Stay Classy” diadaptasi daripada pahlawan zaman dahulu dan kurta itu menampilkan ciri yang berbeza berbanding kurta sedia ada, katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

“Kurta Pendekar yang dilancarkan bersempena Hari Raya tahun ini menggunakan nama seperti Pendekar Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu, Kasturi, Sunan dan Taming Sari mempunyai tujuh warna dan butang yang diimport dari Itali telah direka khas untuk setiap warna.

“Kurta Pendekar bukan bermakna apabila anda pakai anda seorang pendekar tetapi ia menunjukkan sifat berani, sifat gagah, sifat cinta akan tanah air dan sifat ketenangan iaitu sifat yang ada pada seorang pendekar,” kata Mohamad Suhaib dan menurutnya mereka mengupah beberapa tukang jahit untuk menghasilkan kurta Pendekar.

Selain kurta Pendekar, terdapat pelbagai lagi jenis kurta yang direka dan dihasilkan mereka dan dijual pada harga RM99 hingga RM130 sepasang, katanya.

“Kurta Pendekar yang mesra alam ini boleh digayakan untuk pelbagai jenis majlis termasuklah majlis perkahwinan, majlis kerajaan, jamuan malam, hari raya dan santai.

“Rekaan kurta pendekar yang luar biasa dengan memainkan warna yang menarik dapat menaikkan lagi ciri-ciri macho pada setiap lelaki,” katanya.

Pada awalnya, idea untuk menjalankan perniagaan menjual kurta ini dimulakan adik saya, Mohd Salman yang merupakan pelajar Sarjana muda Sains Aktuari di sebuah universiti awam di Shah Alam, katanya.

“Dulu perniagaan kurta ini tidaklah begitu meluas namun sekarang banyak persaingan tetapi kami berdua menggunakan nama Pendekar untuk menarik minat pembeli dan Alhamdulillah hasilnya penjualan sangat luar biasa.

“Rata-rata pembeli akan memberi maklum balas yang baik kerana kurta yang dihasilkan menggunakan 'kain kapas berkualiti tinggi' (diimport) selain senang digosok dan rekaan yang unik,” katanya.

Mohamad Suhaib berkata permintaan terhadap kurta Pendekar setakat ini telah mencecah lebih 1,000 helai untuk raya tahun ini dan beliau amat berterima kasih kepada pelanggan yang menyokong perniagaan mereka.

“Selalunya setiap bulan kami cuma menghasilkan 300 hingga 500 helai sahaja tapi raya ini kami menerima tempahan yang banyak daripada pembeli dari seluruh negara,” katanya.

Beliau yang berharap dapat membuka sebuah kedai dalam waktu terdekat ini juga sedang dalam perancangan untuk menghasilkan kurta untuk kanak-kanak dan kurti untuk wanita.

No comments