Kuda Viral Cuba Dijual 'Pemilik Baru' Dengan Harga RM3,000

Kehilangan seekor kuda jantan bernama 'Seman', yang dipercayai menjadi viral di laman sosial selepas aksinya berlari di atas jalan raya di Wakaf Siku, Kota Bharu masuk episod baharu apabila ia dikesan cuba dijual pada harga RM3,000 oleh ‘pemilik’ baharunya melalui sebuah laman web.

Adik kepada pemilik kuda itu, Wan Hanif Wan Mohd. Noor, 25, berkata, kira-kira jam 2 petang kelmarin, dia mendapat berita kuda yang manja dipanggil ‘Seman’ itu dikesan berada di sebuah rumah di Kampung Gong Dermin.

“Seorang rakan yang juga rapat dan selalu menjaga Seman telah ke rumah terbabit dan mendapati kuda itu berada di sana. Namun, ‘pemilik’ barunya itu mendakwa dia telah membeli Seman daripada seseorang dari Kota Jembal dengan harga RM1,500 beberapa hari lalu.

“Lebih mengejutkan apabila saya mendapati terdapat iklan untuk menjual Seman pada harga RM3,000 di sebuah laman web,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Penjawat awam itu memberitahu, apabila diminta memulangkan kuda terbabit, lelaki itu meminta mereka membayar RM1,000 sebagai ganti rugi kepadanya.

“Apa yang menghairankan, dia meminta hanya RM1,000 dan bukan RM1,500 seperti yang didakwa kos pembelian Seman.

“Ketika diminta penjelasan kenapa perlu menjual Seman dengan harga RM3,000, dia kata mahu buat persiapan hari raya,” katanya.

Wan Hanif berkata, bagi mengelakkan kejadian tersebut bertambah keruh, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi berbincang dengan lelaki berkenaan.

“Buat masa ini saya masih belum membuat laporan polis, biarlah perkara ini diselesaikan dengan baik,” katanya.

Ahad lalu, klip video seekor kuda berlari di atas jalan raya berhampiran Wakaf Siku di sini menjadi viral di laman sosial.

No comments