Kelik La Wei! Lagu Raya Gamit Anak Kelantan Pulang Ke Kampung

Bagi menyemarakkan kepulangan rakyat Kelantan di perantauan ke kampung halaman bersempena Aidilfitri yang akan disambut bulan depan, seorang komposer menghasilkan lagu berjudul “Kelik La Wei’.

Komposer berasal dari Kelantan, Eddie Hamid berkata ini adalah kempen terbaru buat penduduk Kelantan supaya pulang menyambut raya di kampung halaman.

“Buat masa ini sebanyak 2,000 keping VCD (cakera padat video) lagu ini akan diedarkan secara percuma kepada warga Kelantan di luar supaya mereka sama-sama pulang beraya di kampung,” katanya pada majlis pelancaran VCD lagu itu di sini, malam tadi.

Eddie berkata VCD lagu terbabit tidak akan dikomersialkan kerana sudah membuat perjanjian dengan penajanya dan hanya akan diberikan secara percuma kepada anak Kelantan yang mahukannya.



Katanya menjelang Syawal, pihaknya akan cuba mengadakan kerjasama dengan pemilik syarikat bas untuk memperdengarkan lagu berkenaan sepanjang perjalanan pulang ke kampung.

“Apa yang saya lakukan ini adalah sebagai satu cara bagi mendorong anak jati Kelantan pulang ke kampung kerana kita tahu ada yang begitu lama bekerja dan menetap di luar sehingga berat hati untuk pulang ke kampung,” katanya.

Eddie berkata sebenarnya idea tersebut timbul secara sendiri selepas melihat dirinya sendiri yang sukar pulang ke kampung selepas begitu lama bekerja di Kuala Lumpur.

Katanya lagu tersebut dinyanyikan oleh dua penyanyi dikir barat terkenal di Kelantan iaitu Man Khan atau nama sebenarnya Wan Nukman Wan Hamdan, dan Aris Kapilla atau nama sebenarnya Abdul Ariff Ariffin.

No comments