Jam Mewah Yang Dirompak Di Brazil 2 Tahun Lalu Ditemui di Malaysia

Sebahagian daripada jam 'ultra mewah' bernilai RM5.5 juta yang dirompak di Brazil pada dua tahun lalu ditemui di Malaysia.

China Press melaporkan, kejadian itu terbongkar selepas ejen dari syarikat pembuat jam mewah, Audemars Piguet membuat laporan polis setelah menerima seutas jam yang perlu dibaiki dan mendapati nombor sirinya sama dengan jam yang dirompak dari Brazil.


Menurut akhbar itu, jam mewah tersebut telah dibeli oleh seorang pemilik dari Malaysia dengan harga RM90,000 dari sebuah kedai jam mewah di Solaris Kuala Lumpur pada awal tahun ini.

Pemilik melalui seorang ejen telah menghantar jam tersebut untuk diselenggara di Singapura, pihak Singapura bagaimanapun mendapati nombor siri jam itu sama dengan jam yang dirompak.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, pihaknya telah menyiasat pemilik jam dan kedai jam di Solaris serta mendapati masing-masing mempunyai resit pembelian yang sah.


Katanya, melalui kerjasama daripada kedai jam, polis turut menemui dua utas jam mewah lain bernilai RM120,000 yang juga merupakan 'jam rompak'.

Menurutnya, polis Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa dari Singapura dan Hong Kong untuk menyiasat sama ada'jam rompak'itu telah memasuki pasaran Malaysia dari Hong Kong secara sah atau sebaliknya.

"Polis difahamkan jam-jam ini telah dirompak dalam satu kejadian di Brazil pada 2014, sebanyak 93 utas jam masing-masing bernilai RM60,000 hingga RM90,000 telah dirompak pada masa itu," katanya.

Kebanyakan jam yang hilang adalah berjenama Audemars Piguet yang dihasilkan oleh pembuat jam terkemuka dari Switzerland yang beroperasi sejak 1875.

Dalam perkembangan berlainan di Dang Wangi, juga di Kuala Lumpur, seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dilaporkan mengeluarkan sepucuk pistol polis selepas pekerja hotel enggan melanjutkan tempoh penginapan dan menyediakan makanan.

Kejadian itu berlaku di sebuah hotel lima bintang pada Isnin lalu apabila suspek hanya menyediakan bayaran deposit sebanyak RM1,100 berbanding RM1,224 yang diminta pekerja hotel.

Pekerja yang terkejut selepas melihat pistol berkenaan segera menuruti kehendak suspek tetapi membuat laporan polis selepas itu.

Polis yang tiba di tempat kejadian telah menahan 11 lelaki dan wanita tempatan dan warga asing serta menemui dadah jenis syabu seberat 2.1 gram.

Siasatan awal mendapati pistol polis yang ditunjukkan suspek itu telah dipinjamkan oleh seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Selangor. Polis sedang menyiasat pegawai tersebut.

No comments