'Hadi Dah Macam Tuhan, Sanggup Menipu Di Bulan Ramadan' - Kit Siang

Perbalahan antara dua bekas sekutu DAP dan PAS semakin menjadi-jadi ketika kempen pilihan raya kecil Sungai Besar, apabila kedua-duanya saling berperang mulut melalui ceramah.

Malam tadi, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyelar Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menurutnya sudah mengangkat dirinya “semacam Tuhan” apabila presiden PAS itu dilaporkan menuduh mereka yang tidak wala’ kepada parti sebagai berdosa.

“Saya agak berat hati mahu mengkritik Hadi kerana dia telah menaikkan dirinya kepada status ‘seolah Tuhan’, menyamakan kritikan dan ‘ketidaksetiaan’ kepada PAS yang diketuainya sama seperti ‘dosa’.

“Namun, tiga pembohongan yang disebarkan olehnya di Sungai Besar tentang PAS, DAP dan Amanah terdahulu hari ini tidak boleh dibiarkan,” kata Lim dalam satu ceramah di sini, menurut teks ucapan beliau yang disebarkan kepada pihak media.

Dalam muktamar, atau perhimpunan tahunan PAS minggu lalu, Hadi dilaporkan mengecam mereka yang meninggalkan perjuangan PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara sebagai “pengecut” dan berdosa, sama seperti mereka yang sudah tidak beriman.

Lim juga menuduh Hadi sebagai kononnya berbohong dalam bulan Ramadan dengan tuduhannya terhadap DAP dan Amanah, yang didakwa tidak berasas oleh ahli parlimen Gelang Patah itu.

Katanya, Hadi tidak bercakap benar apabila mendakwa bahawa partinya akan menyokong perkara yang benar dan menyanggah apa yang salah apabila sanggup menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal RM2.6 bilion.

Hadi juga dikatakan berbohong apabila menuduh DAP asyik menentang tidak kira benar atau salah, dan menuduh Amanah sebagai mengikut telunjuk DAP.

No comments