Erra Aku Sukar Tolak Cinta Shahir Walau Idam Lelaki Lebih Tua

Beza 14 tahun bukan penghalang untuk Erra Fazira menerima juara Akademi Fantasia musim kelapan sebagai calon jodohnya.

Erra, 42, nama popular Fazira Wan Chek berkata soal jodohnya bersama Ahmad Shahir Zawawi, 28, diserahkan kepada Tuhan selain meminta orang ramai melihat perbezaan umur itu daripada sudut positif.

“Saya pernah berniat untuk mencari orang yang lebih tua dan macam-macam lagi, tetapi bila hati terima ciri-ciri (lelaki muda) begini, sukar untuk saya menidakkannya.

“Kita masih tidak tahu apa yang akan berlaku di masa depan, saya serahkan soal jodoh ini kepada takdir sahaja, sebab Allah sahaja yang mempunyai kuasa terhadap hati saya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Pelakon filem “Sembilu” juga melahirkan rasa lega selepas Shahir mengakui hubungan mereka berdua.

Katanya, mereka masih di peringkat saling mengenali dan soal perkahwinan belum dibincangkan.

“Memang saya lega, bila akhirnya Shahir membuka mulut, dalam masa yang sama mengurangkan beban saya untuk berhadapan perkara ini seorang diri.

“Ternyata tidak banyak yang boleh saya kongsi, tetapi ketika ini fasa hubungan kami masih lagi mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain,” beliau dilaporkan berkata.

Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim dari 2003 sehingga 2006 namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Perkahwinan keduanya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dari 2007 sehingga 2014 dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berumur tujuh tahun.

No comments