'Dia Main Alih-Alih La Pulak'

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua penghadang kayu di Masjid Jamek Tedong, di sini, bergerak sendiri yang dimuat naik di Facebook (FB) mendapat perhatian pengguna media sosial di negara ini.

Rakaman CCTV berdurasi 1 minit 48 saat itu menunjukkan dua penghadang kayu di bahagian belakang masjid bergerak sendiri beberapa kali berlawanan dengan arah angin dimuat naik pengerusi masjid terbabit Datuk Akhbar Ali menerusi akaun FB miliknya.

Penjaga masjid, Zakaria Lani berkata, kejadian aneh itu dirakam jam 2.30 pagi, 25 Mei lalu dan hanya disedari pihak pengurusan dua minggu kemudian.

Menurutnya, dia bersama seorang lagi jemaah memainkan rakaman CCTV terbabit secara kebetulan dan langsung tidak menyangka menyaksikan kejadian aneh itu.

“Kami memainkan rakaman CCTV untuk melihat aktiviti murid Sekolah Kebangsaan Tedong yang mengadakan qiamullail di masjid ini, 28 Mei lalu dan tidak menyangka melihat kejadian itu.

“Pada mula saya menyangka penghadang kayu itu ditiup angin, tetapi arah pergerakannya melawan angin menyebabkan kami kehairanan. Ia seolah-oleh digerakkan sesuatu yang tidak dapat dilihat,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Zakaria berkata, dia menganggap kejadian aneh itu mempunyai hikmah tersendiri apabila masjid terbabit kini mula dikunjungi lebih ramai golongan muda untuk beribadat pada waktu malam, sekali gus mengimarahkan lagi suasana di rumah ibadat itu.

“Kami tidak pernah menghalang mereka berniat untuk beriktikaf di masjid walaupun pada mulanya ada segelintir sebenarnya berada di masjid kerana mahu terserempak dengan kejadian seperti dirakam CCTV.

“Namun saya difahamkan mereka turut melakukan qiamullail. Bagi saya, kejadian aneh itu bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak, sebaliknya lebih kepada mengagungkan kekuasaan Allah,” katanya.

Sementara itu, Akhbar berkata, tujuannya memuat naik rakaman CCTV terbabit bukanlah untuk menakutkan jemaah yang hendak bersolat di masjid tetapi sekadar berkongsi mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah.

Akhbar berkata, kejadian aneh itu perlu dipandang secara positif kerana menunjukkan kebesaran Allah dan lebih-lebih lagi berlaku di dalam kawasan masjid.

“Mungkin ada yang menganggap kejadian pelik itu bertujuan menakutkan-menakutkan jemaah tetapi niat saya hanya mahu menunjukkan kebesaran Allah yang ada di mana-mana sahaja dan mengikut kemahuan-Nya,” katanya.

No comments