'Caj Touch 'n Go Berlebihan Kes Terpencil' - CEO

Insiden pengguna Touch 'n Go dikenakan bayaran jauh lebih mahal berbanding biasa adalah suatu kes yang terpencil, kata ketua pegawai eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin.

Baca: Berapa Ramai Yang Sudah Menjadi 'Mangsa' Plus Highway & Touch 'n Go?

Sambil memohon maaf atas insiden tersebut, Syahrunizam memberi jaminan bahawa Touch' n Go dan syarikat pengendali konsesi lebuh raya, PLUS (M) Bhd. berusaha untuk meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan.

"Kami memberi jaminan bahawa pengalaman tersebut memang kes terpencil daripada jutaan transaksi yang kami proses pada setiap hari, dan untuk itu, kita minta maaf," katanya dalam satu catatan Facebook.

Catatan Facebook itu dikongsi secara peribadi dan tidak jelas bila ia diterbitkan. Walau bagaimanapun, Touch 'n Go membuat posting awam yang disiarkan melalui akaun Facebook pada hari Ahad.

Syahrunizam memohon maaf kepada pengguna Facebook yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Sai Yew Lee', selaku individu yang menjadi mangsa kejadian itu melalui laman Facebook pada 3 Jun yang lalu.

Kata Sai, ketika dalam perjalanan dari Jalan Duta ke Rawang Selatan pada 1 Jun yang lalu, beliau menyedari bahawa nilai kad tersebut menurun daripada lebih RM100 kepada lebih RM50 sebagai beliau melalui pondok tol berkenaan.

No comments