'Bantuan Lambat Jika BN Kalah Di Sungai Besar' - Menteri

Pengundi di Sungai Besar perlu memilih calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi, sekiranya mahu mendapatkan bantuan segera dari kerajaan persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, sekiranya wakil pembangkang yang dipilih, bantuan yang seharusnya sampai ke Sungai Besar akan tiba lambat.

“Kalau beliau (Budiman) tidak dipilih, kadang-kadang bantuan agak lambat kalau bukan sesama parti dalam kerajaan. Biasa kalau bersama dalam kerajaan ini mudah, membantu memberi perkhidmatan kepada orang.

“Jadi saya mengharapkan pengundi di Sungai Besar mengambil peluang ini memberi peluang kepada beliau sebagai ahli parlimen,” katanya kepada pemberita di SMK Sungai Besar, hari ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu turut berharap Budiman “dijangkiti” momentum kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Sebab mood dari Sarawak masih bagus lagi. Harap Budiman dapat dijangkiti ‘mood’ dari Sarawak dan ia dibawa ke sini,” katanya.

Nancy berkata pengundi Sungai Besar perlu memahami rasional pengundi Sarawak memilih kerajaan BN dan menolak pembangkang.

“Mereka percaya hanya BN boleh memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Sebab kita sudah melihat sendiri kawasan yang di bawah bukan kerajaan, calon hanya bercerita mengenai politik,” jelasnya.

Baginya, rakyat Sungai Besar perlu dipimpin kerajaan yang komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan bukannya hanya bercerita mengenai politik sahaja.

“Kita sekarang ini bukan hendak cerita pasal politik, kita nak bercerita mengenai apa yang kita boleh lakukan bagi membantu rakyat. Jadi sebab itu, kami sebagai wakil rakyat BN, tidak buang masa cerita pasal pembangkang.

“Politik ini kita tidak dapat keuntungan, yang untung adalah orang yang bijak tahu memilih parti yang menerajui kerajaan,” jelasnya.

No comments