(15 Gambar) Penumpang, Kru MH1 Cedera Pesawat Dilanda Gelora Udara

Beberapa penumpang dan anak kapal cedera ringan apabila pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01 dalam penerbangan dari London menuju ke Kuala Lumpur mengalami keadaan gelora udara yang teruk ketika berada di ruang udara Teluk Bengal, hari ini.

Pesawat jenis Airbus A380 itu, bagaimanapun, selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 6 petang ini.

Menurut kenyataan MAB, sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sebaik pesawat itu mendarat di KLIA.

Kenyataan itu menyebut MAB telah membantu kesemua penumpang dan anak kapal dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang disebabkan keadaan cuaca yang di luar kawalan syarikat itu.

Seorang pegawai MAB, yang enggan mendedahkan jumlah penumpang dan anak kapal yang cedera, berkata syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan dari masa ke semasa mengenai perkembangan insiden itu.



No comments