Cedera Kerusi Ikea Patah, Guru Dapat Pampasan RM650,000

Seorang guru di Australia Barat menerima pampasan hampir A$220,000 (RM650,000) selepas cedera serius akibat kerusi Ikea yang didudukinya patah.

Jane Pisan sedang mengiringi pelajar Sekolah Menengah Atas Northam ke pusat rekreasi bandar itu pada Jun 2013 apabila kerusi yang didudukinya rosak, lapor WA Today semalam.

Sewaktu berlangsung forum belia di situ, kerusi model ‘Martin’ yang berharga A$35 (RM104) patah dan menyebabkan lututnya cedera teruk.

Mahkamah Australia Barat mendapati kerusi keluaran Ikea itu, satu daripada 270 unit yang dibeli oleh pusat rekreasi tersebut, tidak direka dengan baik untuk lantai yang digilap.

Hakim Philip McCann berhujah kemalangan itu sepatutnya boleh dielak kerana kerusi itu unit ke-12 yang patah di situ sejak dibeli pada 2011.

Hakim mengarahkan pihak berkuasa Northam membayar ganti rugi kepada Pisan, melalui menteri pendidikan, sejumlah A$218,213.74 (RM648,386.57).

No comments