1MDB: 'RM42b Tidak Hilang, Dakwaan Mahathir Tak Betul' - Najib

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan palsu bahawa RM42 bilion telah hilang daripada 1MDB, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Beliau didorong oleh kepentingan peribadi bukan kepentingan negara, dan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Dalam perkembangan sama, Najib mengakui bahawa laporan itu mengenal pasti kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB.

"Kita perlu memastikan bahawa pelajaran yang dipelajari, dan tindakan akan diambil jika ada bukti salah laku ditemui," katanya.

Najib berkata, selepas pelbagai dakwaan dibuat terhadap 1MDB seperti kerugian RM42 bilion yang didakwa Dr Mahathir, kabinet di bawah arahan beliau telah meminta Ketua Audit Negara pada Mac tahun lepas menjalankan siasatan bebas dalam akaun kewangan 1MDB.

"Bagi memastikan ini adalah satu proses yang telus, kita juga mengarahkan bahawa penemuan ini diluluskan untuk semakan kepada PAC - sebuah badan bi-partisan yang termasuk ahli-ahli parlimen pembangkang.

"Selepas satu proses menyeluruh, PAC hari ini mengeluarkan satu laporan dengan keputusannya kepada Parlimen. Laporan ini mewakili konsensus oleh ahli-ahli PAC, dan keputusan ini berdasarkan kepada fakta dengan beratus-ratus jam tinjauan dan penyiasatan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana menghasilkan laporan yang komprehensif, konklusif dan muktamad," katanya.

Perdana menteri juga berkata pentadbiran beliau akan terus memberi tumpuan kepada pelan untuk mengukuhkan ekonomi bagi terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan dana awam untuk peribadi dan menyatakan dakwaan itu datang daripada orang-orang yang berkomplot untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Sementara itu, 1MDB juga mendakwa pengkritiknya mengitar semula tuduhan dengan bermotif politik.

No comments