PAS-IKATAN Bentuk Blok Pakatan Pembangkang Baharu

PAS hari ini mengumumkan penubuhan kerjasama politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bagi membentuk blok pembangkang ketiga, sekaligus menambah ‘warna’ politik tempatan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerjasama itu bertujuan mewujudkan persefahaman kerjasama politik yang lebih tersusun yang sedang digagaskan PAS.

“(Gagasan ini) membawa model politik matang, terbuka, bertanggungjawab, bersih dan sejahtera bersama parti-parti politik dan NGO yang ingin turut serta.

“Pendekatan ini menuntut kami bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit yang boleh menggugat keharmonian dan kemajuan negara.

“Di atas prinsip ini maka kami pada hari ini bermulalah satu kerjasama politik antara PAS dan IKATAN,” kata Abdul Hadi dalam sidang media hari ini.

Kerjasama ini sudah pun diperkatakan sebelum ini, apabila Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan pada 12 Mac lalu berkata parti itu akan membentuk satu pakatan pembangkang baru bersama ‘sebuah parti mesra-pembangkang dan pelbagai kaum.

IKATAN yang diketuai bekas menteri kabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dilancarkan pada 15 Mei 2015 lalu dengan tujuan memperjuangkan ‘amanat dan prinsip’ Tunku Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata gabungan baru itu akan mengambil pendekatan sebagai penasihat, berbeza dengan Pakatan Harapan yang lebih melulu.

“Kita menolak cara ekstrem yang menyusahkan rakyat. Yang baik kita setuju, yang tidak baik kita tolak,” katanya lagi.

Ketika ditanya adakah gabungan baru ini akan membawa perpecahan di kalangan orang Melayu, Abdul Hadi berkata ‘orang Melayu sudah pun berpecah selama ini’.

“Apa yang kita nak lakukan adalah menyatukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Kalau dapat majoriti besar sekalipun, kita tetap tidak boleh meninggalkan kaum lain,” katanya lagi.

No comments