'Bukan Kena Angkut Meja, Mereka Nasihat Saja' - Spiderman

Peniaga nasi lemak yang terkenal dek kostum adiwira Spiderman Zawawi Ghazali di Kelantan hari ini tampil menafikan perniagaannya diangkut majlis perbandaran seperti yang tersebar di media sosial.

Melalui kemas kini di Facebook Nasi Lemak Abe Spider memberitahu sepanjang perniagaannya itu dijalankan, tidak pernah berlaku kejadian seperti yang didakwa.

“Alhamdulillah sepanjang penjelajahan Abe Spider dari daerah ke daerah untuk berniaga, tidak pernah pun pihak Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah angkut meja Abe Spider. Malah mereka sokong usaha Abe Spider.

“Tugas dan arahan patut dipatuhi. Doakan usaha Abe Spider untuk dapatkan lesen dipermudahkan,” tulisnya.

Sekeping gambar tersebar di laman sosial dengan kapsyen yang memberitahu meja perniagaan Nasi Lemak Spiderman itu diangkut majlis perbandaran kawasan itu telah menimbulkan kemarahan netizen.

Melalui laporan sebuah portal, Zawawi memberitahu gambar tersebar itu merujuk kejadian yang berlaku di hadapan sebuah bank di mana pegawai majlis perbandaran itu datang dan memberitahu bahawa kawasan itu tidak boleh berniaga.

“Mereka cuma bertanya, tahu atau tidak kawasan itu tidak boleh berniaga? Saya jawab tidak tahu.

“Mereka tidak ada bercakap kasar pun dengan saya...cakap baik-baik. Kemudian, saya kemas barang,” katanya.

Sebelum ini Nasi Lemak Spiderman itu menjadi viral apabila peniaganya memakai kostum Spiderman dan menarik perhatian orang ramai datang membeli.

No comments