Badan Peguam Malaysia Lulus usul Gesa Peguam Negara Letak Jawatan

Ahli-ahli Badan Peguam Malaysia telah mengundi untuk meluluskan satu usul yang menggesa perletakan jawatan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Memetik laporan MalaysiaKini, usul ini dipersetujui ketika mesyuarat agung tahunan badan itu.

Dilaporkan Badan Peguam mahukan perletakan Apandi berikutan keputusannya untuk tidak meneruskan dakwaaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes deposit wang yang besar ke akaun milik Najib.

Difahamkan, Presiden Majlis Peguam Steven Thiru akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai usul berkenaan.

Sebelum ini, Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Apandi.

Steven berkata dalam permohonan itu, Majlis Peguam mahu agar keputusan Apandi yang 'membersihkan' Najib daripada sebarang pertuduhan pada 26 Januari lalu diketepikan.

"Badan peguam mahu mahkamah menghalang Peguam Negara daripada membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain membenarkan Peguam Cara Negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama ada mendakwa Najib atau tidak,” kata beliau.

No comments