(13 Gambar) Sungai Pahang Luar Biasa Surut Akibat El Nino

Fenomena El Nino kini yang mencatatkan suhu sehingga lebih 36 darjah Celsius di daerah Temerloh menyaksikan Sungai Pahang menjadi cetek luar biasa.

Keadaan itu menyebabkan beting pasir jelas kelihatan di sepanjang sungai sekali gus menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk setempat khususnya penternak ikan patin dan pengusaha bot.

Tinjauan di Sungai Pahang menyaksikan wujudnya beting-beting pasir lebih dua meter dari paras air biasa sehingga ada antara kawasan boleh diseberangi berjalan kaki.

Air sungai yang biasanya berada di bawah papan tanda Temerloh kini surut dua meter daripada mercu tanda bandar ikan patin itu.

Seorang penduduk, Mohamad Othman, 54, berkata, kemarau kali ini dilihat amat luar biasa.

Menurutnya, banyak aktiviti ekonomi terganggu terutama penternakan ikan sangkar dan pertanian yang hampir menyamai situasi kemarau pada 1977.

“Jika kemarau berterusan, saya rasa rekod keadaan sungai yang cetek yang pernah berlaku pada 1977 mungkin berulang kembali,” katanya di sini semalam.


Bagi pengusaha ikan sangkar Basiron Ramli, kemarau kali ini menyebabkan 10 daripada 16 sangkar ikannya terdampar di pasir.

Menurutnya, dia rugi kira-kira RM48,000 selepas ikan yang dipelihara mati akibat ketiadaan air dan cuaca panas.

“Sebelum ini ikan patin sudah mula mati akibat air yang panas dan kini selepas 10 sangkar terdampar kesemua ikan berkenaan mati menyebabkan saya mengalami kerugian besar,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha bot pelancong, Shahrul Masdi Abu Bakar, 46, berkata, keadaan sungai yang cetek menyebabkan operasi membawa bot pelancong yang diusahakannya sejak dua tahun lalu terpaksa dihentikan.

Katanya, keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot pelancongnya tidak dapat melalui kawasan sungai Pahang sepertimana sebelum ini.

“Pada masa ini bot saya hanya boleh bergerak kira-kira satu kilometer sahaja ke hulu sungai memandangkan kawasan sungai di bahagian atas amat cetek dan tidak dapat dilalui,” katanya.

No comments