Exco FAM Tolak Hasrat Tengku Abdullah Letak Jawatan

Hasrat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan ditolak oleh ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) badan induk itu, hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dicapai menerusi mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan oleh Timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Menurut Afandi, keputusan menolak surat peletakan jawatan November tahun lalu itu dibuat kerana percaya khidmat Tengku Abdullah masih diperlukan FAM.

Katanya, keputusan mesyuarat Exco FAM kali ketujuh bagi penggal 2014-2018 itu akan dimaklumkan kepada Tengku Abdullah dalam masa terdekat ini.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Tengku Abdullah mahu melepaskan jawatan bukan saja kerana kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaysia malah dikatakan mahu mengintai peluang menduduki kerusi Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Namun beliau dijangka mengubah pendirian itu susulan penyandang Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa gagal merebut kerusi Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Jumaat lalu.

No comments