Tragedi QZ8501: Serpihan Bangkai Utama & Terakhir Pesawat Ditemui

Serpihan bangkai utama dan terakhir badan pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa, pada Disember lalu, ditemui semalam.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo berkata, serpihan bangkai badan pesawat yang remuk itu, dikeluarkan dari dasar laut pada Jumaat, sebelum dinaikkan ke sebuah kapal.

“Kami telah menemui (serpihan itu) bahagian terakhir dan terbesar badan pesawat AirAsia yang bersambung dengan sayapnya, pada Jumaat,” katanya kepada AFP dalam sidang media pada Sabtu.

Namun, tiada mayat mangsa ditemui dalam operasi itu, semalam.

Jelasnya, pihak berkuasa akan memutuskan tarikh terakhir untuk menamatkan operasi itu, selepas mengadakan pertemuan dengan waris mangsa yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Menurut penyelaras BASARNAS, S.B. Supriyadi, kira-kira 103 mayat telah ditemui sehingga kini, sejak pesawat malang yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu, terhempas ketika terbang dalam cuaca buruk, dari Surabaya ke Singapura, pada 28 Disember lalu.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan memaklumkan, Indonesia akan mengeluarkan laporan terakhir siasatan tragedi QZ8501, pada Ogos nanti.

No comments