Tragedi QZ8501: Bahagian Kokpit Pesawat, Jasad Juruterbang Ditemui

Pasukan penyelam yang ditugaskan mencari serpihan dan baki mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 berjaya menemui bahagian kokpit pesawat dan membawa keluar satu jasad dipercayai juruterbangnya, pagi ini.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat (BASARNAS) Indonesia, Bambang Soelistyo bagaimanapun memaklumkan gagal mengenalpasti sama ada jenazah ditemui itu adalah juruterbang pesawat, Iriyanto atau pembantunya, Remy Plesel.

"Satu jenazah dipercayai juruterbang sudah berjaya dipindahkan. Kita yakin jenazah itu adalah juruterbang kerana pakaian seragam dan lokasi penemuannya di kerusi kokpit.

"Keadaan jenazah juga sudah kelihatan tidak sempurna. Sebaiknya kita tunggu pengecaman daripada DVI (Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana)," katanya.

Mengulas lanjut, Soelistyo berkata, kedudukan seorang lagi juruterbang juga sudah diketahui iaitu di kokpit dan pasukan penyelam akan dikerah untuk memindahkan jenazah berkenaan hari ini.

"Kita berharap keadaan cuaca membolehkan pasukan penyelam kita menyempurnakan tugasnya di dasar laut. Semoga seorang lagi juruterbang ini akan dapat kita pindahkan," katanya.

Soelistyo turut menjelaskan, bahagian kokpit itu berada sekitar 20 meter dari kedudukan badan pesawat yang sudah ditemui sebelum ini.

No comments